Kerajaan Persekutuan telah membeli istana ini pada tahun 1957 untuk dijadikan Istana Negara, tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Sejak itu, beberapa perubahan dan pembesaran dilakukan. Walau bagaimanapun, pengubahsuaian pada tahun 1980 adalah secara menyeluruh, kerana inilah kali pertama Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dilangsungkan di Istana Negara. Sebelum ini upacara pertabalan dilangsungkan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Bangunan yang agung ini terletak di perkarangan suatu kawasan permai lagi indah dengan pelbagai tanaman serta bunga-bungaan dan kolam renang dan sebuah dewan badminton bertutup dengan keluasan 11.34 hektar, di Jalan Syed Putra di tengah-tengah ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur. Bangunan ini mengandungi beberapa ruang khas dengan fungsi dan tujuan-tujuan yang tertentu seperti dua buah dewan utama di tingkat bawah iaitu Balairong Seri dan Dewan Mengadap.
Keseluruhan kawasan ini berpagar dan jata Yang di-Pertuan Agong adalah diletakkan pada setiap jejari besi antara dua batang tiang sekeliling pagar. Di bahagian hadapannya terdapat pintu utama dan dibina menyerupai pintu gerbang yang indah. Di kiri kanan pintu gerbang ini didirikan pula dua buah pondok khas sebagai tempat berteduh pengawal berkuda yang memakai pakaian istiadat yang segak ala Buckingham, London.
Oleh kerana kawasan istana tidak terbuka kepada orang ramai dan pelancong mengunjunginya, maka kawasan Pintu Utama Istana adalah tempat yang paling digemari oleh pelancong mengambil gambar.